PROGRAM ZIARAH KASIH MADANI PENGURUSAN KETENGAH BERSAMA PEMIMPIN MASYARAKAT

27 Mar, 2025 Usahawan 0 Comments
PROGRAM ZIARAH KASIH MADANI PENGURUSAN KETENGAH BERSAMA PEMIMPIN MASYARAKAT

KETENGAH melalui Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK) akan melaksanakan Program Ziarah Kasih Madani Pengurusan KETENGAH Bersama Pemimpin Masyarakat yang dilaksanakan setiap bulan sepanjang Tahun 2025.

⁠Program yang diadakan ini bertujuan menyelami sendiri keadaan penduduk dalam Wilayah KETENGAH terutamanya golongan yang kurang berkemampuan serta terlantar.

Bagi bulan Mac 2025, program telah dilaksanakan dengan melibatkan penerima sumbangan daripada kategori pesakit terlantar di Kampung Pela, Kampung Durian Kassim dan Kampung Landas. Seramai 13 orang pesakit terlantar menerima sumbangan barangan keperluan rumah dan wang tunai berjumlah RM200.00 setiap orang.

YBrs. Encik Zainuddin Bin Haji Md Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH bersama YBrs. Encik Faizol Bin Abd Aziz, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH telah bersama-sama hadir mewakili Pengurusan KETENGAH. Program juga diserikan lagi dengan kehadiran YM. Tengku Mahri Bin Tengku Chik, Ahli Jemaah Lembaga KETENGAH serta pemimpin setempat di kampung-kampung tersebut.

Semoga sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu penduduk yang memerlukan serta dapat meringankan beban bagi menyambut Hari Lebaran yang bakal tiba.