MAJLIS SOLAT HAJAT & GIMIK PENGOPERASIAN PROJEK AGROTEK DESA KETENGAH

27 Feb, 2025 Usahawan 0 Comments
MAJLIS SOLAT HAJAT & GIMIK PENGOPERASIAN PROJEK AGROTEK DESA KETENGAH

Pada 27 Februari 2025, KETENGAH telah mengadakan Majlis Solat Hajat & Gimik Pengoperasian Projek Agrotek Desa KETENGAH di Lot PT4086, Durian Mentangau, Dungun, Terengganu. Satu inisiatif strategik dalam memperkasakan sektor pertanian luar bandar melalui teknologi moden.

Projek ini melibatkan 4 orang peserta dengan kapasiti tanaman 16,000 polibag iaitu seorang peserta mengusahakan 4,000 polibag. Tanaman yang diusahakan adalah cili secara fertigasi dengan menggunakan teknologi Internet of Thing (IoT) dalam pertanian. Dengan teknologi ini, hasil tanaman dapat ditingkatkan, kos operasi dapat dikurangkan dan kualiti produk pertanian lebih terjamin. Pendekatan ini membuka peluang kepada petani untuk meneroka ekosistem pertanian digital.

Sebagai memberkati dan memastikan perlaksanaan projek berjalan dengan jayanya, majlis solat hajat telah diadakan dan dipimpin oleh Tuan Abdullah bin Raja Ismail yang turut disertai oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, Pengurusan KETENGAH, wakil Jabatan Pertanian, MARDI dan juga FAMA. Seterusnya, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH telah menyempurnakan gimik pengoperasian projek dengan menanam anak pokok cili dan penyerahan sijil kepada peserta.

Bagi menjayakan projek berimpak tinggi ini, KETENGAH telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembangunan projek. Pelaburan ini bukan sahaja akan memperkasa komuniti pertanian tempatan tetapi juga mempercepatkan transformasi sektor agro ke arah lebih mampan dan kompetitif.

KETENGAH komited dalam membawa inovasi ke lapangan membina ekosistem pertanian yang lebih maju. Dengan gabungan inovasi, teknologi, dan sokongan strategik, Projek Agrotek Desa Ketengah bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan pertanian moden, meletakkan petani tempatan seiring dengan arus globalisasi industri agromakanan.

Membina Masa Depan Pertanian yang Lebih Pintar, Produktif & Berdaya Saing!